}

*~berdakwahlah menegakkan kalimah suci walau hanya dengan menulis - adakalanya penulisan itu lebih tajam dari mata pedang."*~

Wednesday, March 08, 2006

: Set Your Goals :

Bercakap sorang diri..gila apa?Kalau kita baca buku-buku untuk berjaya karangan penulis-penulis dari Barat, antara perkara yang ditekankan adalah, "SET YOUR GOALS"

Apa matlamat kita 5 tahun akan datang?
Apa matlamat kita bila anak sudah berumur 7 tahun?
Apa matlamat kita apabila sudah berumur 55 tahun?

Kenapa kita ditekankan pasal matlamat untuk berjaya? Jawapannya mudah, supaya minda kita berfikir dan bekerja ke arah matlamat tadi.

Kehidupan kita macam perjalanan di lebuh raya. Apa faedahnya kita menghabiskan duit tol dan minyak di Highway Plus kalau kita tak tahu apa hala tuju perjalanan tadi?

Mungkin orang ingat kita gila kalau kita bercakap sorang-sorang. Tetapi sebenarnya tidak. Kita kadang-kadang hanya tahu bercakap dengan orang lain. Tetapi lupa untuk berkomunikasi dengan diri sendiri.

Menulis matlamat-matlamat kita dalam diari adalah contoh bagaimana kita boleh berkomunikasi dengan diri sendiri. Menampal sasaran-sasaran besar dalam hidup di dinding bilik juga adalah cara untuk bercakap dengan diri sendiri.

Dalam Quran disebut, kira-kiranya bermaksud:

"Berdoalah kepadaKu dan Aku akan kabulkan."

Dalam ayat lain juga disebut:

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri."

Persoalan 1: Kenapa Allah suruh berdoa?
Doa adalah cara untuk berkomunikasi dengan diri sendiri. Minda kita mula fokus apabila kita menghayati doa-doa yang dibacakan. Lalu dipanjangkan dengan pengharapan dan tawakal kepada Allah.

"Ya Allah, jauhkan aku dari azab api neraka"

Kalau kita menghayati doa ini, secara automatik kita akan menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kita masuk neraka. Lalu kita akan rajin bersolat dan melakukan ibadah lainnya.
Mana mungkin orang itu berdoa, lalu selepas itu pergi minum arak dan cari perempuan. Itu tandanya dia tidak menghayati doa yang dibacakan. Mindanya tidak terfokus untuk menjauhkan dirinya dari api neraka.

"Ya Allah, kau lembutkan hati sahabat aku agar dia kembali kepadaMu."
Doa tidak akan dikabulkan tanpa ada usaha dari pihak kita sendiri. Kalau kita pohon kepada Allah agar menjaga sahabat-sahabat kita agar tidak jauh terpesong dari Islam, maka pra-syarat terkabulnya doa itu tadi bermula apabila kita berusaha untuk memberi dakwah kepada mereka.
Muhammad b Abdullah berdoa pada malam peperangan Badar. Doanya panjang. Khusyuknya baginda tidak dapat digambarkan. Sahabat-sahabat ramai yang lihat. Lalu para sahabat lainnya sudah mendapat moral untuk menang. Minda Muhammad b Abdullah tidak pernah fikir untuk kalah. Pengharapan itu ditunjukkkan kepada para sahabat dan disandarkan pada Allah. Lalu Allah beri kemenangan dalam peperangan Badar.

Persoalan 2: Perubahan mesti datang dari dalam diri sendiri.
Muhammad b Abdullah berdoa dan sentiasa berusaha agar pakciknya, Abu Talib memeluk Islam. Tetapi tidak berjaya. Baginda bukan pemberi hidayah. Tetapi hidayah itu hak Allah. Dan Allah hanya akan beri hidayah itu kepada siapa yang mencarinya. Dalam hal ini, Abu Talib tidak mencari hidayah.

Berlainan dengan Umar al-Khattab. Nabi juga berdoa agar salah satu dari dua Umar masuk Islam. Umar al-Khattab terdetik apabila surah Thaha yang dibacakan oleh adiknya. Detikan hatinya sahaja tidak mencukupi,lalu Umar keluar mencari Nabi saw sendiri. Itulah usaha Umar al-Khattab dalam pencarian kebenaran. Akhirnya Umar memeluk Islam.
Dalam diri kita sebenarnya ada 'tembok' yang tidak boleh dilihat. Itulah tembok minda.
Tapi apabila kita berdoa, tembok itu akan pecah sedikit demi sedikit. Dan itu semua datang dari kita sendiri. Kita ini adalah apa yang kita fikirkan. Kalau fikir kita adalah 'loser' maka kita tidak akan jadi 'winner'.

Kita tidak akan berjaya dalam apa yang kita cari melainkan kita berusaha ke arah itu. Semua dari kita dilahirkan dalam keadaan tidak tahu berjalan. Tetapi kita tidak pernah jemu untuk terus belajar berjalan. Kenapa sikap sewaktu kecil ini kita lupakan apabila kita sudah besar?
Itulah kenapa kita digalakkan berdoa. Berdoa bukan tandanya kita lemah. Sebab kita tahu kita ada kemungkinan tidak dapat, maka barulah kita berdoa. Itu bukanlah konsep doa dalam Islam.

Doa adalah kekuatan umat Islam. Senjata umat Islam adalah doa. Orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong. Muhammad b Abdullah yang sudah pasti masuk syurga pun bangun bertahajud dan berdoa sehingga kakinya bengkak-bengkak.

Orang Israel yang bersenjatakan senjata canggih pun 'main sorok-sorok' bila berdepan dengan kanak-kanak dan remaja Palestin. Itu tandanya kekuatan tidak ada pada diri orang Yahudi. Mereka kelihatan kuat dari luar, tetapi sebenarnya tidak.

Umat Islam tidak lemah. Tetapi kita yang rasa diri kita lemah. Maka umat Islam terus dalam keadaan lemah. Cuba ubah persepsi yang umat Islam adalah umat yang kuat. Kalau semua dari kita berfikir begitu, maka kekuatan umat itu akan kembali semula.

Macam orang berniaga. Kalau dia fikir rugi..rugi...rugi... bagaimana untuk dapat untung?
Cuba fikir untung..untung..untung...sudah tentu akan dapat keuntungan.

Inilah cantiknya Islam. Konsep motivasi diri sudah diterapkan oleh Islam sekian lama.
Iaitu doa. Berdoa seharusnya diamalkan setiap masa. Paling kurang 5x dalam sehari.
Kalau sudah 5x sehari kita bercakap pada diri sendiri perkara-perkara yang baik dan yang kita impikan, adakah perkara itu akan jadi satu benda yang mustahil lagi dalam hidup? Kerana kita sudah berjaya mengatasi penghalang paling besar dalam hidup iaitu tembok minda.

Hayatilah doa yang kita baca dan doa tidak semestinya dalam bahasa Arab.

Konsep 'GOALS' yang diajar oleh pemikir Barat hanya berdasarkan konsep bercakap dengan minda manusia. Tetapi dengan panduan Islam, 'GOALS' itu berdasarkan komunikasi minda dan pengharapan yang tinggi kepada Allah yang Maha Berkuasa. Dan Allah tahu yang terbaik untuk diberikan kepada sekalian hambaNya yang berdoa.
Wallahua'lam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

.